Baca Artikel Tentang Dunia Siber
Internet merupakan satu alat popular masa kini yang membolehkan seluruh keluarga belajar, berkongsi maklumat dan berkomunikasi dengan mudah. Ia boleh diakses melalui komputer peribadi, konsol permainan dan peranti mudah alih. Walau bagaimanapun, Internet juga boleh membawa risiko kepada pengguna jika tidak berhati-hati. Oleh itu, Internet perlu digunakan secara bijak dan bertanggungjawab untuk memastikan penggunaan Internet yang mesra dan selamat.
Melalui satu usahasama, Kementerian Pendidikan Malaysia, CyberSecurity Malaysia, Childline Malaysia dan Digi Telecommunications amat komited untuk mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi tentang penggunaan Internet secara positif. Oleh itu, program 'CyberSAFE in Schools' telah diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran tentang penggunaan internet secara selamat di kalangan para pelajar serta guru mereka di sekolah di seluruh negara.

Pada tahun 2012, program ini telah melibatkan lebih daripada 5,000 pelajar dan guru dari 272 sekolah, serta 1,700 orang dari 14 "Pusat Komuniti Internet 1Malaysia" di mana mereka telah diajar tentang kesedaran akan pentingnya penggunaan internet secara selamat. Mereka juga telah didedahkan kepada pelbagai risiko yang mungkin dialami ketika menggunakan Internet. Pada tahun 2013, seramai 478 guru-guru ICT telah dilatih untuk menjadi duta program CyberSAFE in Schools dan seterusnya mengadakan program kesedaran  untuk 15,256 pelajar di 460 buah sekolah di seluruh negara.

Bersama rakan-rakan kerjasama program ini, kami ingin menjadikan laman web ini sebagai satu platform bagi para pelajar di semua 10,000 buah sekolah di Malaysia mempelajari cara-cara untuk menjadi warganegara digital yang bertanggungjawab.