7365
bacaan
Kembali
Virus Komputer boleh menyerang dan merosakkan program serta data yang terdapat di dalam komputer. Contoh, pendrive, external hardisk, dokumen serta jaringan internet secara tersembunyi, tanpa disedari oleh adik-adik. Virus juga boleh tersebar dari satu komputer kepada komputer yang lain apabila kita berkongsi media penyimpanan ataupun dokumen yang telah dijangkiti virus.
Di dalam dunia siber, terdapat mereka yang berniat jahat atau ingin mempermainkan pengguna-pengguna internet yang lain. Mereka telah mencipta pelbagai jenis Virus Komputer dengan penyamaran yang tidak dapat kita sedari. Justeru, pengetahuan berkenaan Virus Komputer bagi tujuan keselamatan data dan juga dokumen yang terdapat di dalam komputer perlu diketahui.
Terdapat beberapa kategori Virus Komputer yang boleh kita ketahui:
Polymorphic Virus
Ia boleh mengubah diri untuk mengelakkan daripada dikenalpasti oleh perisian anti-virus. Ianya boleh menyerang pelayan komputer (server), komputer atau sistem dan boleh memadam fail yang berada di dalam komputer.
Stealth Virus
Virus ini boleh menyembunyikan diri di dalam fail atau dokumen yang penting bagi mengelakkan dari dikenalpasti.
Retro Virus
Mengubah dan memusnahkan perisian anti-virus. Virus ini boleh menyebabkan perisian anti-virus mengenalpasti fail penting di dalam komputer sebagai virus dan sekaligus cuba untuk memadamkan fail tersebut. Keadaan ini akan menyebabkan operating system (OS) komputer tidak dapat beroperasi dengan baik.
Multipartite Virus
Menyerang sistem komputer dengan pelbagai cara. Ianya boleh menjangkiti kesemua executable fail dan akan menyerang pada skala yang besar bagi memastikan kesemua fail dapat dimusnahkan.
Armored Virus
Virus yang boleh mengelakkan diri dari dikenalpasti sebagai virus oleh pengguna komputer dan sekaligus ianya tidak dipadam menyebabkan komputer / sistem mendapat ancaman serangan virus. Virus ini sangat sukar dikenalpasti dan sangat cepat menjangkiti komputer. Ianya merupakan salah satu virus pilihan bagi penggodam komputer.
Companion Virus
Virus yang berada di dalam program komputer yang sah. Ianya akan mereka bentuk fail yang tempoh jangka masa yang singkat. Virus ini akan menjangkiti komputer jika pengguna menaip "RUN" di dalam program komputer dan seterusnya menyerang windows registry dan windows configuration database.
Phage Virus
Virus yang mengubah program serta pangkalan data komputer. Ianya boleh menjangkiti kesemua pangkalan data sistem komputer.
Macro Virus
Virus pintar yang boleh menjangkiti perisian makro. Contoh Word dan Excel. Virus yang paling banyak digunakan untuk menjangkiti komputer di mana ianya sangat senang dicipta dan disebarkan serta sukar dikenalpasti pengguna. Ianya boleh merebak apabila pengguna komputer membuka Word atau Excel yang telah dijangkiti virus.
Adik-adik perlu berwaspada ketika melakukan sebarang aktiviti komputer seperti membuka atau memindahkan fail atau berkongsi media penyimpanan. Ini kerana ianya boleh menyebabkan penyebaran virus yang serius kepada komputer.
Sekiranya adik-adik perlukan sebarang bantuan atau mempunyai pertanyaan, sila hubungi Pusat Bantuan Cyber999 melalui emel cyber999@cybersecurity.my atau ditalian Nur 15999. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.cybersecurity.my dan www.cybersafe.my.
Sumber:
Norul Aina
Amirah Ab. Rahman (asuhnov13)