5252
bacaan
Kembali

Banyak kes pembulian yang dilaporkan sekarang melibatkan kanak-kanak yang dibuli oleh rakan-rakan sebaya. Hal ini sangat membimbangkan kerana ia akan memberi kesan negatif yang mendalam terhadap mental dan emosi mangsa. Jadi, anda perlulah mengetahui langkah-langkah yang harus diambil jika merasakan diri anda menjadi mangsa pembuli siber ini.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:-

Ingat, anda tidak keseorangan dalam menghadapi masalah siber buli ini. Ramai orang di sekeliling anda yang sentiasa mengambil berat. Justeru, jangan hanya berdiam diri dan berahsia tentang perkara ini. Beritahu segera kepada ibu bapa, abang, kakak atau guru supaya tindakan susulan boleh diambil.

Anda tidak perlu membalas mesej atau e-mel daripada pembuli siber. Pembuli siber selalunya akan berasa diri mereka diberi perhatian oleh mangsa apabila mereka mendapat balasan mesej atau e-mel. Kawal diri anda kerana ini dapat mengurangkan rasa “seronok” pembuli siber untuk terus membuli anda.

Anda dinasihatkan supaya tidak membalas mesej atau e-mel daripada pembuli siber. Anda perlu menyimpan mesej dan e-mel tersebut supaya ia dapat dijadikan bahan bukti semasa membuat laporan kepada pihak sekolah (jika pembuli siber tersebut adalah rakan sekolah) atau pihak polis.

Kadangkala pembuli siber sengaja mengganggu anda secara berterusan dan mengajak anda untuk berjumpa di satu tempat yang dirancang. Anda dinasihatkan untuk tidak bertemu dengan pembuli siber, lebih-lebih lagi berseorangan kerana ini mungkin akan membahayakan diri anda!

Jika pembuli siber melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya kepada anda secara berterusan, walaupun beberapa langkah awal telah diambil dan setelah amaran diberikan kepada mereka, jangan teragak-agak untuk melaporkannya kepada pihak polis. Ini dapat menyelamatkan diri anda daripada ancaman yang lebih besar.

Ini adalah langkah-langkah yang perlu anda ambil jika menjadi mangsa kepada pembuli siber. Namun, anda masih perlu sentiasa berhati-hati kerana terdapat pelbagai ancaman lain yang mungkin terdedah kepada anda ketika melayari Internet.
Sekiranya anda memerlukan sebarang bantuan, sila hubungi Pusat Bantuan Cyber999 melalui e-mel cyber999@cybersecurity.my atau hubungi Talian Nur 15999. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.cybersecurity.my dan www.cybersafe.my.
Article has been rephrased from:
Asuh, Bil. 193, Aug 2013 by Dzarul Farhan Dzahar, CyberSecurity Malaysia.