1973
bacaan
Kembali
Media sosial amat mempengaruhi kehidupan seseorang. Hampir sebahagian besar daripada masa seharian kita dihabiskan dengan melayari laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.
Tingkahlaku serta cara pemikiran seseorang juga dipengaruhi oleh media sosial. Namun, apa yang paling penting adalah pengendalian diri kita di dalam talian agar sifat hormat menghormati, bertimbang rasa serta keprihatinan terhadap sesuatu perkara dapat dikekalkan di media sosial. Jadi, terdapat beberapa panduan pengendalian diri di media sosial yang perlu kita ketahui.

Media sosial bukanlah satu platform yang sesuai untuk kita meluahkan segala perasaan. Jangan sesekali memberi komen negatif di dalam talian. Gunakan saluran lain untuk tujuan tersebut.

Memuat naik segala aktiviti harian anda mungkin satu perkara yang biasa dilakukan. Namun ianya juga mungkin rutin yang menjengkelkan bagi sesetangah rakan media sosial anda. Hadkan perkongsian aktiviti anda untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Media sosial memberikan satu platform untuk kita bebas bersuara. Namun kita tidak harus menyalahgunakannya untuk memburukkan orang lain. Jika kita mempunyai masalah dengan seseorang, bawalah berbincang atau sesama anda.

Jika anda memiliki gambar rakan anda untuk dimuat naik ke laman media sosial, pastikan anda meminta izin terlebih dahulu sebelum anda tag gambar tersebut. Kebanyakan daripada kita menghargai etika sebegini kerana ia dapat mengelakkan diri daripada kelihatan tidak baik.

Jadikan diri anda contoh yang baik untuk orang lain. Jika anda ingin rakan anda memberikan komen yang baik, anda perlu melakukan perkara yang sama. Anda akan dihormati sekiranya anda berbudi pekerti sewaktu di dalam talian.
Penggunaan media sosial di dalam kehidupan seharian bukanlah satu budaya kosong semata-mata. Jika ianya digunakan dengan penuh tanggungjawab dan beretika, ia dapat memberikan satu impak yang lebih besar dalam menjadikan kita seorang pengguna internet yang bijak dan selamat. Jangan jadikan kata-kata maya alasan keberanian kita untuk menyakiti orang lain.
Sumber:
Edwan Mohd Aidid (asuhsept13)